Senin, 14 Mei 2012

Biografi Prof.Dr Hamka (Buya Hamka)

send email
print this page





Biografi Prof.Dr Hamka (Buya Hamka)
Almarhum Haji Abdul Malik Bin Haji Abdul Karim Amarullah atau dikenali sebagai Prof. Dr Hamka adalah ulama besar Nusantara yang sangat terkenal. Lebih-lebih lagi beliau berasal dari tanah Minangkabau yang mempunyai pertalian dengan masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan. Setiap orang di negara ini yang pernah melihat dan mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh tokoh ini pastinya merasai kerinduan yang mendalam terhadap nastolgia lampau. Penyusun sendiri tanpa sedar boleh menitiskan airmata apabila tokoh ‘idola’ ini tersedu dalam ceramah dakwahnya di kaca TV kira-kira awal tahun 1970an dahulu.

Gayanya yang tersendiri dalam berdakwah amat memukau sekali bagai magnet yang boleh menyentuh hati setiap insan yang mendengar.

Latar Belakang Ulama

Pak Hamka atau Buya Hamka adalah nama istimewa yang mempunyai nilai tersendiri di persada perkembangan Islam dan dunia kesusasteraan nusantara. Hamka dari singkatan nama Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim. Almarhum dilahirkan di Kampung Tanah Sirah (ada riwayat lain mengatakan di Kampung Molek), Negeri Sungai Batang Maninjau, Minangkabau pada 14 Muharram 1326H bersamaan 17 Febuari 1908. Bapanya Haji Abdul Karim Amrullah adalah ulama terkenal Minangkabau yang tersohor dan dianggap pula pembawa reformasi Islam (kaum muda). Menariknya pula, datuk beliau adalah ulama tarekat yang bersuluk terkenal.

Tuan Kisa-i (datuk Hamka) tetap mengamal Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i sama dengan pegangan ‘Kaum Tua’, tetapi pada zaman beliau istilah ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’ belum tersebar luas. Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk tokoh besar dalam perjuangan ‘Kaum Muda’. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah, sekali gus menolak ikatan ‘taqlid’, tetapi lebih cenderung kepada pemikiran Syeikh Muhammad Abduh. Manakala ibunya pula bernama Siti Safiyah Binti Gelanggar yang bergelar Bagindo nan Batuah.

Menurut sejarahnya, bapa beliau pernah dibuang daerah oleh penjajah Belanda ke Sukabumi dalam tahun 1941 lantaran fatwa beliau yang dianggap membahayakan penjajah dan keselamatan umum. Haji Abdul Karim adalah tuan guru kepada Sheikh Haji Ahmad Jelebu yang riwayat hidupnya turut disajikan dalam koleksi ini. Beliau meninggal dunia pada 21 Jun 1945.

Pendidikan

Hamka mendapat pendidikan awal agama dari Madrasah Tawalib yang didirikan oleh bapanya. Masa kecilnya, seperti kanak-kanak lain beliau juga dikatakan lasak dan nakal. Ini diceritakan sendiri oleh Sheikh Haji Ahmad Jelebu bahawa Hamka pernah menyimbah air kepada penuntut lain semasa mengambil wuduk. Selepas itu beliau berguru pula kepada Sheikh Ibrahim Musa di Bukit Tinggi. Dalam tahun 1924, Hamka berhijrah ke Jawa sempat menuntut pula kepada pemimpin gerakan Islam Indonesia seperti Haji Omar Said Chakraminoto. Lain-lain gurunya ialah Haji Fakharudin, Ki Bagus, Hadi Kesumo dan iparnya sendiri Rashid Sultan Mansur.

Kerjaya Hidup

Hamka telah menyertai Gerakan Muhamadiah dan menerajui kepimpinan pertubuhan itu di Padang Panjang tahun 1928. Hamka bergiat aktif bagi menentang gejala khurafat, bidaah dan kebatinan sesat di sana. Beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin pada 1929 dan dua berikutnya, Pak Hamka berpindah pula ke Kota Makasar, Sulawesi untuk menjadi pimpinan Muhamadiah.

Keilmuan dan ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara universiti itu ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya, Universiti Al Azhar, Mesir telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan beliau turut menerima ijazah Doktor Persuratan UKM pada 7 Jun 1974.

Novel-novel dan kitab-kitab

Keistimewaan Pak Hamka ialah kebolehannya menulis novel dan menghasilkan kitab-kitab agama yang terkenal. Berikut ialah beberapa buah buku karangan tersebut:

a. Novel
  • Tenggelamnya Kapal Vanderwick
  • Dalam Lembah kehidupan
  • Di Bawah Lindungan Kaabah
  • Kenangan Hidup
  • Merantau Ke Deli
  • Ayahku
  • Laila Majnun
  • Siti Sabariah

b. Kitab Agama dan Falsafah
  • Tafsir Al Azhar ( 30 Juz)
  • Khatib Ul Ummah ( 1925)
  • Tarikh Abu Bakar As Sidiq
  • Ringkasan Tarikh Umat Islam
  • Islam dan Adat Minangkabau
  • Tasawuf Moden
  • Falsafah Hidup
  • Lembaga Hidup
  • Lembaga Budi

c. Majalah
  • Kemahuan Zaman ( 1929)
  • Al Mahdi ( 1933)
  • Pendoman Masyarakat ( 1936 – 1942)
  • Semangat Islam ( 1944- 1948)
  • Menara ( 1946-1948)
  • Panji Masyarakat ( 1959)


Biografi Prof.Dr Hamka (Buya Hamka)

Ditulis Oleh : yomaricoy17 Hari: 21.13 Kategori:

0 comments:

Posting Komentar

Jika Admin tidak menjawab di halaman ini, mungkin Admin telah mengirimkan jawabannya melalui e-mail Anda. Jadi harap lihat e-mail Anda.

 

Widget

DMCA.com
Ping your blog, website, or RSS feed for Free W3 Directory - the World Wide Web Directory Google PageRank Checker Powered by  MyPagerank.Net Directory submission